Im following GOD!

Im following GOD!

Isnin, 20 April 2015

Proses Pua Kumbu

Info ringkas Proses menenun Pua Kumbu

1. Memproses Benang

Benang putih yang telah dipilih akan direndam semalaman dalam air yang bersih. Setelah direndam, benang putih tersebut akan dimasukkan ke dalam campuran kanji. Hal ini kerana benang yang akan digunakan dalam tenunan pua ini tidak berbulu, tidak mudah putus dan tahan lasak.

2. Menggulung Benang

Benang mentah yang telah dikanji dan dikeringkan akan dimasukkan ke dalam "Pelayang Benang" untuk digulung dalam bentuk bebola.

3. Menggirit

Alat tenunan akan digunakan dalam proses ini. Proses menggirit dilakukan dengan membawa mangkuk yang berisi benang dari bahagian kiri alat tenunan dan dibawa dari bawah ke atas dan diselitkan anak-anak kayu di antaranya untuk memudahkan kerja-kerja menggarap kelak.

4. Menggarap

"Kayu Lambongan" akan digunakan untuk memasukkan benang yang terselit antara kayu-kayu kecil dan dikait mengunakan jari. Benang ini kemudian akan diikat pada kayu kecil yang disusunkan antara "Kayu Lambongan" dan "Beliak"

5. Menegi

 Proses menegi dilakukan supaya memudahkan lagi proses mengikat. Benang yang telah digarap akan ditegi kepada dua bahagian (bahagian atas dan bawah). Setelah siap ditegi dan dijahit pada bahagian atas dan bawah, benang akan ditegangkan dengan diselitkan dua batang kayu di atas "Tangga Benang".

6. Mengikat Motif (pertama)

Jaluran-jaluran benang tadi akan diikat berpandukan corak yang dikehendaki dengan tali rafia. Tujuan mengikat ialah supaya ikatan tidak diserap oleh warna apabila melakukan proses pencelupan kelak.

7. Mencelup Warna

Benang yang telah diikat dikeluarkan dari tangga benang, direndam dan dibilas dengan air. Kemudian, ia dicelup ke dalam bahan pewarna mengikut warna yang dikehendaki. Warna yang biasa digunakan dan menjadi pilihan untuk proses mewarna pertama  tenunan pua adalah warna merah.

8. Mengikat Motif (kedua)

Benang yang telah dikeringkan akan menjalani proses mengikat tali kedua tetapi ikatan yang pertama tadi akan dibiarkan dan tidak dibuka. Hanya ikatan pada benang ditambah untuk tujuan mencelup warna kedua.

9. Menenun Pua

Akhir sekali, benang yang telah dibuka ikatan akan dimasukkan pada alat tenunan. Bahagian atas benang dimasukkan pada kayu rakup dan bahagian bawah akan disusupkan pada kayu panjang sebelum diikat pada bahagian bawah alat tenunan dan ditarik sehingga tegang. Bahagian bawah ini disambung dengan "Sengkabit" (alas belakang semasa menenun). Kemudian, benang yang dilancarkan dengan "Jengkuan" akan dipangkah oleh benang kapas untuk dijadikan kain pua.


PERALATAN DIGUNAKAN UNTUK MENENUN PUA KUMBU

Table Loom merupakan peralatan moden yang digunakan untuk menenun Pua Kumbu.





KEDUDUKAN SEMASA MENENUN PUA KUMBU


sumber: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan