Im following GOD!

Im following GOD!

Jumaat, 20 Mac 2015

Motif atau Corak Pua Kumbu

Pada kali ini, saya akan menerangkan motif-motif yang digunakan oleh wanita Iban dalam menghasilkan pua kumbu.

Sebelum itu, di bawah ini saya telah sertakan beberapa gambar pua kumbu.
 
Rajah 1 : Motif Manusia (Wanita Iban)

Rajah 2 : Motif Flora

Rajah 3 : Motif Flora

Ketiga-tiga gambar pua kumbu di atas merupakan kepunyaan saya dan keluarga. Pua kumbu tersebut telah ditenun oleh nenek moyang saya pada masa dahulu dan diwariskan kepada ibu saya. Terdapat banyak lagi pua kumbu milik kepunyaan nenek moyang saya namun beberapa daripadanya telah diwariskan kepada adik-beradik ibu saya yang lain.

Dalam gambar rajah di atas, anda dapat melihat sendiri motif-motif yang digunakan oleh penenun. Untuk pengetahuan anda juga, motif-motif yang digunakan oleh penenun bukanlah direka sesuka hati. Semua motif yang digunakan mempunyai maksud yang tersendiri dan bukan wujud atas idea-idea penenun semata-mata. 

Motif dan corak tertentu yang disulamkan dalam sesebuah tenunan itu hanya dihasilkan oleh penenun pakar yang dikenali sebagai Master Weavers. Hal ini kerana pua kumbu juga dikenali sebagai selimut rohani dalam kalangan masyarakat Iban di Sarawak, malah dipercayai memberi tenaga dan semangat kepada pemakainya berdasarkan corak yang dipilih.

Pua kumbu jenis sedemikian hanya ditenun oleh wanita yang sudah mahir menenun kerana kain kategori ini adalah paling rumit untuk ditenun malah motif-motifnya kerap dikaitkan dengan kepercayaan dan pantang larang kaum Iban.

Pembuatan pua kumbu harus mengikut keserasian penenun dengan motif atau corak. Maksudnya, jika seseorang itu berkeras untuk menghasilkan motif pua kumbu di luar kemampuannya dipercayai akan 'memakan diri' dan kain tidak akan pernah dapat dihasilkan.

Yang dimaksudkan dengan 'memakan diri' adalah di mana penenun akan jatuh sakit dan mengalami pelbagai halangan untuk menyiapkan tenunan pua kumbunya.

Namun, berbeza dengan penenun yang dikenali sebagai Master Weavers yang memperoleh motif serta corak melalui mimpi yang kemudiannya diterjemahkan dalam tenunan pua kumbu. Kain pua kumbu yang dihasilkan oleh Master Weavers bukan kain sembarangan kerana ia mempunyai semangat tersendiri dan kebanyakan motif yang digunakan adalah seperti ular, harimau, burung, rusa, lintah, lipan dan sebagainya.

Terdapat beberapa motif atau corak pua kumbu beserta maksudnya.
(i) Motif  Engkeramba
- Gambaran figura roh yang dikenali sebagai engkeramba ditenun dengan teknik ikat. Motif ini dipercayai berkuasa menghalang bencana atau kuasa jahat daripada menyerang tanaman dan penghuni rumah panjang. Basanya, motif ini hanya boleh ditenun oleh anak dan isteri ketua rumah panjang sahaja. Hal ini kerana mereka benar-benar mempunyai kemahiran menenun cara ikat.

(ii) Motif Fauna
- Antara motif binatang yang digunakan ialah motif buaya, ular, katak, harimau, tikus kasturi, burung dan sebagainya.

a. Motif Buaya - dipercayai mempunyai kuasa untuk menjaga tempat berhuma (tanaman padi). Adalah kepercayaan kaum Iban bahawa buaya adalah jelmaan saudara-mara mereka.

b. Motif Ular - tidak ditenun dengan sewenang-wenangnya kerana binatang ini membawa petanda buruk. Kemunculan ular dikaitkan dengan kuasa jahat atau hantu.

c. Motif Katak - ditenun dengan gaya seperti manusia. Menurut kepercayaan kaum Iban, selampai iaitu roh perempuan sering menjelma sebagai katak. Selampai juga dikatakan mempunyai kuasa menciptakan bayi.

d. Motif Harimau dan tikus kasturi - motif harimau dan tikus kasturi sering dikarang dalam bentuk abstrak. Dipercayai orang yang memakai kain tenunan ini pernah dianugerahkan keberanian.

(iii) Motif Flora
- Tumbuh-tumbuhan juga turut digunakan sebagai motif tenunan kain pua. Antara tumbuk-tumbuhan yang sering ditenun ialah rotan, pucuk paku, pucuk rebung, buah-buahan, biji benih dan bunga-bungaan.

Selain itu, ingin saya memberitahu anda bahawa motif ini hanya akan wujud selepas seseorang penenun mendapat mimpi daripada 'seseorang'. Motif yang disampaikan melalui mimpi tersebut akan diterjemahkan ke dalam tenunan pua kumbu. Kebiasaanya, hanya penenun tersebut dan juga wanita mahir sahaja yang memahami apa maksud yang ingin disampaikan di dalam pua kumbu.


Di sini saya telah sertakan satu video yang bertajuk 'Woven Dreams' bagi memudahkan anda untuk memahami dengan lebih baik. Semoga terhibur. 
*rujukan video : https://www.youtube.com/watch?v=FzJRs3-mIv4

*bersambung.......


Tiada ulasan:

Catat Ulasan